Berdiri lengan menampan ,
Lenguh menahan berat badan,
Juga buah fikiran
Yang jerih terbeban,
Sambil dua tungkai ini,
Mengunjur bersilangan,
Melangut ke langit lalu hilang,
Tinggi jauh nun ke awan.
Asyik,
Menyaksi senja luas jingga,
Yang melapang terang,
Sekarang berlabuh,
Terlihat mentari ditelan laut,
Dan perlahan ia menjatuh,
Sedemikian juga hatiku,
Tadinya aman selamat,
Kini inti resah merusuh.
Langit barusan cerah,
Lalu dijajah malap malam,
Dan ruang gelap diam membisu,
Nurani risau sayu,
Juga terasa hati pilu,
Akan harimu saban berlalu,
Walaupun tiada sebab kukuh,
Untuk berasa begitu.
Mungkin juga,
Di kala senja terbentang,
Terlopong,
Jiwa menjadi kosong merentang.
Kerana usainya ceria petang,
Dan mula merasa sendiri,
Tidak diusik namun cedera emosi.
Membentak nurani,
Namun tidak didengari
Kalam kalbu tiada daya,
Untuk ke depan bersuara,
Yang tertancap apa yang dirasa,
Kerana logika memenjara,
Lalu kita cuma bisa,
Faham kendiri diolah sastera.
Nurul Alfiani/Vokaloka
No comments
Post a Comment